24 April 2012


SISTEM PENTAKSIRAN BAHARU STPM
Selaras dengan Program Transformasi Pendidikan, mulai tahun 2012,  Majlis
Peperiksaan Malaysia (MPM) melaksanakan  sistem  pentaksiran baharu  STPM
bagi memperkasakan program pendidikan di tingkatan enam.
Peperiksaan STPM yang sedia ada  dikendalikan berdasarkan kepada tempoh
pengajian  tingkatan enam selama 1½ tahun. Tempoh pengajian ini  terdiri
daripada  tingkatan enam  bawah  yang meliputi penggal kedua tempoh
persekolahan, dan  tingkatan enam atas  yang meliputi penggal pertama dan
penggal kedua tempoh persekolahan. Peperiksaan bagi pengajian  tingkatan
enam adalah untuk mengukur dan menilai pencapaian pelajar yang dilaksanakan
keseluruhannya melalui peperiksaan STPM pada penghujung pengajian, iaitu
pada bulan November hingga Disember.
Pada tahun 2012, sistem  peperiksaan  STPM akan dijalankan dalam dua mod.
Mod pertama ialah sistem peperiksaan STPM sedia ada bagi pelajar yang sedang
mengikuti tingkatan enam atas pada tahun 2012. Pelajar ini merupakan kohort
terakhir yang akan menamatkan sistem peperiksaan STPM sedia ada. Mod kedua
ialah bagi pelajar tingkatan enam bawah pada tahun 2012, mereka merupakan
kohort pertama sistem  pentaksiran baharu  STPM yang akan menduduki
peperiksaan penggal 1 persekolahan tingkatan enam pada November 2012 dan
juga buat pertama kalinya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diperkenalkan
kepada 19 mata pelajaran tingkatan enam. Sistem pentaksiran baharu STPM ini
adalah cetusan idea yang amat bermakna oleh mantan Ketua Eksekutif MPM,
Tuan Haji Omar bin Abu Bakar (2005-2011).
Dalam sistem  pentaksiran  baharu  STPM, tempoh pengajian tingkatan enam
adalah sama dengan tempoh persekolahan mengikut kalendar persekolahan yang
dilaksanakan pada masa ini.  Peruntukan waktu pengajaran juga adalah sama
seperti jadual waktu persekolahan yang sedia ada bagi tingkatan enam, iaitu
lapan (8) waktu seminggu bagi setiap mata pelajaran (1 waktu pengajaran = 40
minit). Oleh itu, sistem pentaksiran baharu STPM ini tidak menganggu dan tidak
mengubah sistem persekolahan sedia ada.