23 April 2013

EMAS


Perak negeri unik

Kehijauan alam semula jadi yang luas terbentang ditambah dengan kicauan burung yang merdu saat bersantai di balkoni bilik pastinya memberikan kedamaian dan ketenangan yang sukar untuk diperoleh di bandar.
Justeru, bagi yang mencari destinasi percutian yang dekat dengan alam semula jadi, Perak yang kaya dengan pelbagai tarikan pelancongan adalah tempatnya. 
Keunikan gua serta bukit batu kapur yang ada di sekeliling negeri itu, selain tasik dan hutannya yang masih terpelihara, ketenangan yang dicari pasti akan dijumpai di situ. 
Taman Herba Negeri Perak 
Terletak di Kampung Kepayang di sepanjang Jalan Simpang Pulai-batu Gajah, Taman Herba Negeri Perak dipenuhi lebih 525 spesies pokok herba.

Berkeluasan 22 hektar, spesies popular yang boleh didapati di taman herba ini ialah misai kucing, kunyit bonglai, kacip fatimah dan tutup bumi rimba.

Spesies seperti emas cotek, jerangau, rempah padang, kunyit, serai wangi, bungah cengkih turut ditanam di sini.

Keindahan kawasan Taman Herba Perak dengan haruman herba yang pelbagai memang mendamaikan.

Ia juga tempat pembelajaran terutama bagi mengenal pelbagai jenis spesies herba yang ada.


Hutan Paya Bakau Matang

Hutan Paya Bakau Matang kaya dengan pelbagai hidupan liar dan habitat yang
tinggal di kawasan paya bakau dan dataran lumpur.

Diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal pada tahun 1906, Hutan Paya Bakau Matang berkeluasan kira-kira 40,000 hektar itu adalah rizab hutan paya bakau terbesar di Semenanjung Malaysia.

Menaiki bot menyusuri sungai pada waktu malam untuk melihat kelip-kelip atau kunang-kunang antara aktiviti yang cukup digemari.

Selain itu, anda juga boleh melihat kehijauan pokok bakau dan memerhati burung yang pelbagai spesies. Lebih menarik, peluang melihat sendiri proses penghasilan arang.


Taman Negeri Royal Belum

Dikatakan lebih tua berbanding Hutan Amazon, Taman Negeri Royal Belum adalah hutan dara yang luas dan salah satu kawasan hutan simpan terbesar di Semenanjung.

Antara haiwan liar di hutan ialah gajah, badak sumbu, tapir dan harimau.

Royal Belum kaya dengan biodiversiti di mana tiga daripada 20 spesies bunga Rafflesia boleh dijumpai dan semua 10 spesies enggang Malaysia berkampung di situ.

Selain keindahan alam semula jadi, Taman Negeri Royal Belum juga adalah perkampungan Orang Asli iaitu di Sungai Tiang dan Sungai Kejar.


Ipoh - The Limestone Wonder

Ipoh adalah bandar yang cukup unik kerana ia dikelilingi bukit-bukau dan gua batu kapur. Pembentukan stalaktit dan stalagmit selama berjuta-juta tahun pasti membuatkan sesiapa saja terpegun melihat keindahannya.

Di sini, anda boleh melihat keunikan Gua Tempurung, Gua Puncak, Sam Poh Tong Temple, Perak Tong Temple, Gua Tambun, Taman Rekreasi Gunung Lang dan Taman Tema Lost World Of Tambun.

Di Gua Tempurung dan Gua Puncak, anda pasti terpegun melihat formasi stalaktit dan stalagmit yang unik selain laluan di sepanjang penjelajahan di dalam kedua-dua gua itu.

Di Gua Tambun, sekitar 1959, lukisan batu zaman Neolitik yang berusia lebih kurang 5,000 tahun dahulu dijumpai di pinggir Ipoh.

Taman Rekreasi Gunung Lang pula menawarkan pemandangan bukit batu kapur dan tasik bekas lombong.

Dikelilingi kehijauan alam semula jadi serta bukit batu kapur yang menakjubkan, Lost World of Tambun (LWOT) menjanjikan keunikan.


Gua Tempurung

Dengan panjang mencapai 1.9 kilometer dan dipercayai wujud sejak 8,000 SM, Gua Tempurung menyimpan pelbagai keindahan alam semula jadi untuk pengunjungnya.

Gua Tempurung adalah gua batu kapur yang terletak di Gopeng.

Ia terdiri daripada lima kubah besar yang silingnya menyerupai tempurung kelapa, dengan setiap kubah mempunyai bentuk stalagmit dan stalaktit yang berbeza.

Selain itu, setiap kubah berbeza dari segi suhu, aras air dan kandungan batu kapur dan marmar.

Di pertengahan gua ini terdapat satu stalagmit yang berbentuk seperti gergasi.

Selain menyimpan khazanah alam, gua ini turut tertulis dalam sejarah Malaysia di mana ia menjadi tempat persembunyian komunis dari 1950 hingga 1960 -metro april 23 2013-