25 April 2011

KEHIDUPAN MARIN

Selamatkan hidupan marin

Peningkatan suhu air, paras air laut dan keasidannya adalah ancaman terbesar kepada hidupan marin Segi Tiga Terumbu Karang. Bagaimanakah kita dapat menanganinya?






KEPUPUSAN spesies marin akibat penangkapan ikan yang keterlaluan dan perubahan cuaca melampau secara berterusan bakal memberi kesan kepada dunia. Dijangka kesemua bekalan ikan komersial dan spesies makanan laut akan habis menjelang tahun 2048.
Analisis sejarah, eksperimen dan data perikanan berhubung spesies ikan di laut dan ekosistem, para penyelidik mendapati, ketika bekalan makanan utama semakin menekan, kepupusan kehidupan marin boleh mengganggu biodiversiti secara global.
Laporan tersebut didedahkan oleh penulis LiveScience, Sara Goudarzi, yang dipetik daripada jurnalScience isu November 2008.
"Kehilangan spesies ini bermakna kita juga kehilangan produktiviti dan kestabilan keseluruhan ekosistem. Ia sangat mengejutkan bagaimana trend ini berlaku di luar jangkaan kita," kata penulisnya, Boris Worm dari Dalhousie University.


PERSIDANGAN Lautan Sedunia (WOC) 2009 di Manado, Sulawesi mengumpulkan ketua-ketua negara Segi Tiga Terumbu Karang selain wakil negara rakan, Amerika Syarikat dan Australia.




Kumpulan konservasi WWF turut melahirkan kebimbangan kemungkinan pupusnya biologi terumbu karang yang terbesar di Asia Tenggara pada penghujung abad ini sekiranya isu perubahan iklim tidak diketengahkan.
Perubahan iklim boleh memusnahkan kekayaan hidupan laut sekiranya pengeluaran gas rumah hijau tidak terkawal.
Peningkatan suhu air, paras air laut dan keasidannya adalah ancaman terbesar yang mengancam Segi Tiga Terumbu Karang.
Rangkaian terumbu karang yang dikenali sebagai Segi Tiga Terumbu Karang meliputi sempadan beberapa buah negara seperti Indonesia, Malaysia, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon dan Timur Timor.
Rangkaian itu mempunyai lebih 76 peratus spesies terumbu karang dan 35 peratus adalah spesies ikan terumbu karang.
Malah, kepupusan terumbu karang mengakibatkan pengeluaran makanan di rantau itu merudum sebanyak 80 peratus. Ia meletakkan kehidupan 100 juta orang dalam bahaya.


PENINGKATAN suhu sekitar 0.5 darjah Selsius sudah cukup untuk mengancam hidupan marin.




Difahamkan, beberapa beberapa lokasi di Segi Tiga Terumbu Karang adalah kawasan yang penting untuk semua jenis ikan. Migrasi ikan tuna dan penyu menyebabkan mereka mungkin tidak lagi bertelur di kawasan terbabit.
Sehubungan itu, lebih 70 buah negara berkumpul di Manado, ibu kota Sulawesi, Indonesia baru-baru ini bagi membincangkan isu berhubung antara lautan dan perubahan iklim.
Persidangan Lautan Sedunia (WOC) yang julung kalinya diadakan itu bertujuan memelihara kepentingan laut dan sumber marin yang telah diancam oleh pemanasan global.
Apakah yang diperlukan untuk menyelamatkan Segi Tiga Terumbu Karang? Ia memerlukan komitmen pengurangan pengeluaran gas rumah hijau.
Kepanasan yang terperangkap daripada pembakaran bahan bakar fosil seperti arang, minyak dan gas dipersalahkan akibat atmosfera dan perubahan aliran cuaca, sekali gus meningkatkan keasidan laut yang mengancam hidupan marin.


KUMPULAN pencinta alam mendesak negara-negara dunia kini lebih tegas dengan isu pencemaran alam sekitar termasuklah kehidupan marin.








Dalam pada itu, di Malaysia, 99 peratus daripada penduduknya hidup dalam lingkungan 100 kilometer dari pantai dan hampir 100,000 orang terlibat secara langsung dalam industri perikanan.
Industri perikanan Malaysia merupakan penyumbang besar kepada sumber makanannya. Dengan pengambilan per kapita tahunan sebanyak 45 kilogram, penduduk Malaysia adalah antara yang tertinggi mengambil ikan dalam diet harian di Asia Tenggara.
Hampir 20 peratus daripada sumber protein rakyat Malaysia diperoleh daripada makanan laut.
"Namun, sumber marin Malaysia semakin merosot dan kepelbagaian biologinya diancam oleh aktiviti manusia.
"Laut saling berantaian dengan hidupan daratan. Apabila berlaku sesuatu perkara, contohnya pemanasan global di daratan, kesan juga bakal dirasai oleh kawasan marin.
"Apa yang membezakan adalah masa. Sama ada cepat atau lambat sahaja," terang Pengarah Institut Bioteknologi Marin, Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr. Mohd. Effendy Abd Wahid kepada Kosmo!.
Peningkatan suhu atmosfera
Ini kerana, apabila berlakunya peningkatan purata suhu atmosfera permukaan bumi secara global, maka ia akan menyebabkan pencairan ais dan glasier di kawasan Artik dan Antartika sekali gus mengakibatkan peningkatan dalam aras laut.
"Apabila suhu laut meningkat, walaupun hanya 0.5 darjah Selsius daripada suhu sebenar lautan iaitu antara 26 hingga 27 darjah Selsius, ia bakal mengancam terumbu karang di lautan.
"Apa yang paling penting di sini adalah diatom (sumber makanan kepada ikan-ikan dan organisme marin) yang terdapat pada terumbu karang.
"Apabila terumbu karang musnah, ini akan menyebabkan ikan-ikan yang bergantung padanya juga akan mati," tegas Effendy mengenai bahayanya kesan pemanasan global ke atas kehidupan marin.
Ini akan memberi kesan terhadap sumber makanan di Malaysia apabila tiada bekalan makanan.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Mohd. Rizal Arshad pula memberitahu, lautan adalah penyerap utama gas karbon dioksida (C02) daripada atmosfera.
"Peningkatan penyerapan gas CO2 ini menyumbangkan secara langsung kepada turunnya nilai pH air laut. Proses pengasidan air laut ini akan memberi kesan kepada hidupan marin.
"Ia akan turut dirasai oleh Malaysia kerana ia merupakan negara pesisir pantai yang akan menerima kesan langsung daripada proses pemanasan global itu.
Selain kesan pemanasan di daratan, hidupan marin di perairan negara akan terkesan kerana lautan adalah satu kejadian alam yang bersifat dinamik.
Ia merupakan sebahagian daripada komponen ekosistem global kerana Malaysia terletak di kawasan Khatulistiwa.
"Peningkatan suhu ini akan benar-benar dirasai. Hidupan batu karang di perairan Malaysia adalah sebahagian daripada sistem ekologi di Laut Cina Selatan dan Laut Sulu Sulawesi.
"Sekiranya tiada gerakan atau inisiatif bersepadu di peringkat setempat atau global tidak diambil, maka kemusnahan hidupan marin ini sukar untuk dihalang.
"Usaha Malaysia secara bersendirian hampir mustahil mengatasi masalah ini," katanya yang menyetujui usaha sama 100 buah negara dalam menangani masalah pemanasan global yang berlaku di Manado itu.
Sementara itu, Ketua Persidangan Lautan Sedunia (WOC), Indroyono Soesilo berkata, keindahan kepulauan Manado dan juga kepulauan sekitarnya juga kini sedang terancam.
Pemanasan global menyebabkan suhu air laut akan naik dan terumbu karang serta spesies ikan akan mati.
Jelasnya, terumbu karang terbesar yang dimiliki oleh kepulauan Manado juga terancam.
Matinya terumbu karang di kawasan segi tiga itu, akan mengancam sumber daya ikan dunia yang lain.
"Perhatian utama terhadap ancaman dan harapan berhubung kedudukan lautan yang meliputi 72 peratus permukaan dunia itu ketika wujud ketidaktentuan ekoran kepanasan global akan difokuskan," katanya.
Ujarnya, WOC turut mengumpulkan lebih 1,000 saintis dan pakar-pakar perubahan iklim yang akan memberi fokus terhadap lautan sebagai subjek teras ketika berdepan dengan perubahan iklim dan keselamatan makanan.


KEMUSNAHAN alam marin akan menyebabkan warga dunia kehabisan spesies makanan laut menjelang tahun 2048.




Manado merupakan sebuah ibu kota yang terletak di Kepulauan Sulawesi, Indonesia kira-kira 2,500 kilometer dari Kuala Lumpur (perjalanan udara) dan wilayah yang berkongsi laut Sulu dengan Sabah.
Ibu kota utara Sulawesi itu menjadi tempat destinasi utama pelancong terutamanya kepada pencinta laut untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti menyelam skuba dan snorkeling.
Di kalangan penyelam, Manado dikenali sebagai antara lokasi menyelam yang perlu dikunjungi kerana mempunyai beberapa taman laut termasuk Taman Marin Negara, Bunaken yang menempatkan 2,500 spesies ikan dan 70 jenis terumbu karang.
"Kami dapat melihat penurunan spesies di perairan yang cepat sejak 1,000 tahun yang lalu. Kesannya, kita kehilangan keupayaan penapis, habitat nurseri dan perikanan yang sihat," kata penulis bersama, Heike Lotze dari Dalhousie University, Canada.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Samudera dan Perikanan Indonesia, Freddy Numberi memberitahu, sumber samudera yang tidak ternilai harganya itu kini terancam dan semakin banyak lokasi yang mengalami kemusnahan.
"Ramai orang bimbang bahawa proses yang menyebabkan perubahan iklim kini di luar kawalan," katanya.
Walaubagaimanapun, Freddy memberitahu, dengan terlaksananya WOC 2009 itu, segala kebimbangan mengenai kemusnahan kehidupan marin yang berlaku akan mendapat satu penyelesaian yang lebih baik.
Khabarnya, persidangan itu juga bertujuan untuk mewujudkan perdebatan saintifik berhubung peranan laut dalam mesyuarat perubahan iklim Bangsa-Bangsa Bersatu di Copenhagen, Denmark, Disember ini.
Persidangan itu juga akan membincangkan untuk meneruskan Protokol Kyoto yang akan tamat pada 2012.
Persoalannya, mampukah persidangan selama lima hari yang berlangsung di Manado itu mencapai kata sepakat untuk kita bersama-sama memulihara kehidupan marin?

No comments:

Post a Comment