12 April 2011

Pengajian Am 2 Contoh Bahagian C

Bahagian C
Baca dan cuba jawab.


Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah, sediakan cartayang sesuai untuk menunjukkan perbandingan hak milik modal saham syarikat berhad Malaysia antara tahun 1990 dengan tahun 1995.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke 6, jumlah hakmilik saham syarikatberhad telah meningkat daripada RM108,377.4 juta pada tahun 1990 kepadaRM179,792.2 juta pada tahun 1995.
Dalam tempoh Rancangan tersebut, penyusunan semula ekuiti terus kekal sebagai bahagian penting strategi pengagihan. Walau bagaimanapun,penekanan yang lebih telah diberi kepada peningkatan keupayaan Bumiputera untuk menambah pendapatan dan mengumpul kekayaan melalui pelaburan dalam tabung-tabung amanah seperti ASB, ASN dan tabung-tabung unit amanah negeri. Hasil daripada usaha tersebut, hakmilik Bumiputera (individu, institusi bumiputera dan agensi amanah) dalam ekuiti korporat telah meningkat daripada
RM20,877.5 juta pada tahun 1990 kepada RM36,981.2 juta pada tahun 1995 iaitu peningkatan dari 19.3% kepada 20.6%.
Pemilikan ekuiti korporat bukan Bumiputera juga telah meningkat darippada RM51,077.1 juta pada tahun 1990 kepada kira-kira RM78,026.9 juta pada tahun 1995. Ini sebahagian besarnya adalah hasil peningkatan jumlah ekuiti korporat yang dipegang oleh kumpulan etnik Cina. Pemilikan ekuiti kumpulan etnik Cina telah meningkat dalam tempoh Rancangan Malaysia ke 6 daripada RM49,296.5 juta pada tahun 1990 kepada RM73,552.7 juta pada tahun 1995. Walau bagaimanapun, dari segi peratus, bahagian pemilikan ekuiti korpporat kumpulan etnik Cina telah berkurangan daripada 45.5 peratus kepada 40.9 peratus dalam tempoh yang sama kerana pertumbuhan tahunan jumlah ekuiti yang diperolehi mereka adalah lebih rendah daripada kumpulan etnik yang lain. Sebaliknya, jumlah ekuiti korporat yang dipegang oleh kumpulan etnik India telah meningkat hingga melebihi sekali ganda iaitu daripada RM1,068.0 juta pada tahun 1990 kepada RM2723.1 juta pada tahun 1995, manakala kumpulan rakyat di bawah kategori lain-lain telah meningkat daripada RM712.6 juta kepada RM1751.1 juta.
Peningkatan dalam pemilikan ekuiti rakyat asing pada kadar 12.6 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia ke 6 adalah lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan 12.1 peratus bagi Bumiputera dan 9.0 peratus bagi bukan Bumiputera. Peningkatan ini adalah sejajar dengan kelonggaran syarat dan peraturan berkaitan dengan pemilikan ekuiti korporat yang telah diperkenalkan dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Hasilnya, bahagian pemilikan ekuiti korporat yang dipegang oleh rakyat asing telah meningkat daripada 25.4 peratus pada tahun 1990 kepada 27.7 peratus pada tahun 1995 iaitu daripada RM27,202.7 juta kepada RM49,792.7 juta.
Sementara pemilikan ekuiti Syarikat Nomini telah menurun daripada 8.5 peratus pada tahun 1990 kepada 8.3 peratus pada tahun 1995. Walau bagaimanapun nilai saham meningkat daripada RM9,220.1 juta kepada RM 14,991.4 juta.

(Dipetik dan diubahsuai daripada Rancangan Malaysia Ketujuh, 1996-2000)

1 comment:

  1. jgn lupa ke blog saya...http://ismaalperlisi.blogspot.com/

    ReplyDelete